Saturday, April 18, 2009

MARKAH KASIHAN DI USIM : SATU MIMPI DI SIANG HARI, BUKAN SUATU REALITI


Sukalah saya untuk merujuk kepada pengakuan seorang pensyarah wanita di dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini. Beliau telah mendakwa berlakunya pemberian markah kasihan di USIM dan juga situasi di mana pelajar terlibat gagal mengarang esei dalam bahasa Inggeris. Satu persoalan yang bermain di fikiran saya dan juga mungkin ramai di luar sana, tentang kebenaran bagi setiap fakta yang telah di timbulkan.
Sememangnya, berita sebegini memberi tamparan hebat, bukan sahaja kepada Pihak Pengurusan Tertinggi Universiti, tetapi juga kepada Mahasiswa-mahasiswi yang menuntut ilmu di Universiti ini. Sebagai seorang Mahasiswa USIM, saya melihat perkara sebegini sebagai satu cabaran kepada kami untuk membuktikan ianya tidak benar.
Sistem pengajaran dan pembelajaran di USIM amat mementingkan soal kualiti pelajar dan pensyarahnya. Tambahan lagi sebagai Mahasiswa Undang-undang, syarat kemasukan ke program Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang adalah dengan memperolehi Band 4 di dalam peperiksaan MUET yang di ambil sebelum memasuki Universiti selain mempunyai pencapaian yang cemerlang di dalam Akademik.
Adalah amat mustahil pelajar yang mendapat MUET Band 4 ini, gagal menulis esei dalam bahasa Inggeris dengan baik. Juga rasanya amat mustahil bagi pihak Lembaga Peperiksaan untuk memberikan “markah kasihan” kepada kami untuk mendapat BAND 4 sebelum mengambil kursus Undang-undang di USIM. Selain itu juga, pensyarah-pensyarah yang mengajar Subjek bagi kursus Undang-undang di USIM terdiri daripada Profesor-profesor dari dalam dan luar Negara, bekas Hakim Mahkamah Tinggi serta pensyarah-pensyarah berpengalaman yang lain.
Selain Tambahan pula, terdapatnya pensyarah-pensyarah sambilan lain yang mengajar di USIM yang terdiri daripada Profesor-profesor dari IPTA lain, peguam-peguam serta ahli badan professional yang lain. Adalah amat mustahil untuk mereka memberikan “markah kasihan” kepada pelajarnya memandangkan ianya adalah amat bertentangan dengan profesion masing-masing.
Sebagai akhirnya, sukalah saya maklumkan di sini bahawa, untuk memperolehi “markah kasihan di USIM” ianya sekadar mimpi di siang hari ataupun mungkin di waktu senja yang tidak mungkin menjadi satu realiti. Bagi kami semua ini adalah satu ujian dari tuhan kepada kami sebagaimana yang di sebut di Surah Al-Ankabut Ayat 2 dan 3 “
Apakah manusia itu mengira, bahawa mereka itu di biarkan sahaja mengatakan kami telah beriman sedang mereka tidak di uji lagi? Dan sesungguhnya KAMI telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Alllah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya DIA mengetahui orang-orang yang dusta”

Tulisan Kebenaran bukan Kasihan dari :
Hamba Allah, Nama Syurga
Mahasiswa Tahun 4 Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang USIM

1 comment:

  1. Sabarlah wahai sahabat ku..ini semua dugaan. Moga yang berhasad dengki itu kan mendapat balasan yang setimpal dengan apa yang dia 'usahakan'..

    ReplyDelete